Bidang Kajian : Pengurusan & Sumber Manusia
Pelajar/Pengkaji Oleh: Low Shi Hui
Alamat Emel: rubyprivate0319@gmail.com
Tarikh: 13/03/2026
Abstrak Kajian
Kajian ini dijalankan untuk meneroka persepsi penyelia agensi terhadap pelajar praktikum Sarjana Muda Pengurusan Kerja Sosial. Praktikum merupakan asas penting yang kritikal dalam membentuk pekerja sosial yang kompeten. Walau bagaimanapun, pendidikan kerja sosial di Malaysia masih berdepan cabaran signifikan, termasuk ketiadaan piawaian kompetensi yang seragam dan ditetapkan secara rasmi oleh badan profesional. Cabaran ini menjejaskan kualiti penyeliaan dan tahap kesediaan pelajar. Sehingga kini, tiada kajian khusus yang meneliti secara mendalam persepsi penyelia agensi terhadap pelajar praktikum Sarjana Muda Pengurusan Kerja Sosial di Malaysia, menjadikan pandangan penyelia sebagai pihak utama yang menilai keberkesanan latihan kritikal. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti persepsi penyelia agensi terhadap pelajar praktikum kerja sosial dari aspek kemahiran, pengetahuan, dan etika kerja sosial , mengenal pasti isu-isu dalam penyeliaan , serta mengenal pasti cabaran-cabaran yang dialami oleh penyelia agensi semasa mengendalikan praktikum pelajar. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif sepenuhnya , dengan reka bentuk kajian penerokaan untuk mendapatkan kefahaman yang mendalam tentang fenomena yang dikaji. Data akan dikumpulkan melalui kaedah temu bual separa berstruktur kerana sifatnya yang fleksibel membolehkan maklum balas responden diteroka secara terperinci. Pemilihan peserta kajian menggunakan kaedah persampelan bertujuan bagi memastikan cerapan berharga diperoleh daripada penyelia agensi yang paling relevan. Dapatan kajian dijangka dapat memberikan panduan strategik kepada institusi pengajian tinggi dalam memperkukuh pelaksanaan praktikum dan memberikan input kepada pembentukan polisi dan piawaian kerja sosial di Malaysia , sekali gus menjadi asas kepada cadangan penambahbaikan sistem praktikum kerja sosial secara berterusan.