Bidang Kajian : Pengurusan & Sumber Manusia
Pelajar/Pengkaji Oleh: Nur Hidayah Binti Mohd Din
Alamat Emel: nurhidayahmohddin95@gmail.com
Tarikh: 01/01/1970
Abstrak Kajian
Kajian ini adalah bertujuan untuk melihat isu mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi kepuasan kerja staf Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di daerah Kuala Nerus, Terengganu. Reka bentuk kajian yang digunakan merupakan kaedah kualitatif di mana pengkaji menggunakan soalan temubual sebagai alat utama untuk mendapatkan hasil kajian dan menggunakan perisian NVivo 15 bagi menganalisis data. Metodologi kajian ini melibatkan pengumpulan data melalui kaedah temubual yang dijalankan ke atas 8 orang staf PPDK daripada PPDK yang berbeza di daerah Kuala Nerus, Terengganu. Analisis data ini akan meneroka kefahaman staf PPDK terhadap kepuasan kerja dalam tugas harian, mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi kepuasan kerja staf PPDK dan menjelaskan kesan terhadap kesejahteraan dan prestasi staf PPDK. Hasil kajian ini mendapati bahawa setiap staf PPDK mempunyai pemahaman yang berbeza mengenai kepuasan kerja mereka dalam konteks tugasan harian. Selain itu, persekitaran fizikal bilik darjah, peluang membantu orang lain, gaya penyeliaan, hubungan antara rakan setugas dan sokongan organisasi merupakan antara faktor yang boleh mempengaruhi kepuasan kerja staf PPDK. Kepuasan kerja ini juga boleh membawa kepada kesan terhadap kesejahteraan dan prestasi kerja mereka seperti kestabilan emosi, peningkatan motivasi dan prestasi kerja serta kesepaduan antara rakan sekerja. Hal ini menunjukkan bahawa staf PPDK berpuas hati bekerja di organisasi masing-masing. Kajian ini telah memberi pemahaman yang jelas mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi kepuasan kerja staf PPDK. Dapatan kajian ini diharapkan dapat memberi faedah kepada organisasi-organisasi terutamanya pihak pengurusan PPDK dalam mengetahui dan mengukur tahap kepuasan pekerja mereka.
Kata kunci: Kepuasan kerja, Staf Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), Faktor kepuasan kerja, Sokongan organisasi, Kesejahteraan dan prestasi kerja.