Bidang Kajian : Kanak-kanak
Pelajar/Pengkaji Oleh: Norliza Bt Mokhtar
Alamat Emel: lizahzza74@yahoo.com
Tarikh: 01/01/2025
Abstrak Kajian
Peningkatan kes penderaan kanak-kanak di Malaysia menyebabkan perlunya sokongan emosi dan fizikal diberikan kepada mereka. Dalam kebanyakan Rumah Kanak-kanak (RKK), penyediaan sumber sokongan ini merupakan antara isu penting yang menjadi perhatian. Fokus kajian kualitatif ini adalah untuk mengkonsepsikan maksud sokongan psikososial berdasarkan pengalaman dan pandangan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual di RKK di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat tentang sokongan psikososial. Objektif dalam kajian ini iaitu, mengkaji bentuk sokongan sedia ada yang diperoleh kanak-kanak yang didera secara seksual, mengenal pasti keperluan sokongan psikososial kanak-kanak di RKK; dan mencadangkan intervensi kerja sosial yang boleh diperkenal untuk penambahbaikan sistem sokongan sedia ada. Sejumlah 14 orang kanak-kanak yang telah didera secara seksual berusia antara 12 hingga 18 tahun telah dipilih sebagai responden kajian ini. Kaedah pemerhatian, temubual semi-struktur dan perbincangan kumpulan berfokus telah digunakan dalam kajian ini. Data dianalisis dan manual pengkodan teliti dikod secara manual untuk mendapatkan tematema yang berkaitan sokongan psikososial. Tiga tema utama telah dikenal pasti iaitu pengalaman kanak-kanak yang didera secara seksual, rangkaian sumber sokongan dan perkhidmatan institusi. Hasil kajian mendapati bahawa institusi telah berjaya menyediakan sumber sokongan yang meliputi keperluan asas. Walau bagaimanapun, kanak-kanak menaruh harapan untuk memperoleh lebih sokongan psikososial yang berbentuk bantuan secara emosi daripada staf, interaksi yang kerap dengan ahli keluarga dan sokongan daripada masyarakat. Kanak-kanak di RKK lebih bergantung kepada rakan sebaya sekiranya menghadapi sebarang masalah. Hasil dapatan kajian ini mempunyai implikasi teoritikal dan praktikal kerja sosial yang perlu diambil perhatian dalam menjalankan proses dan tindakan intervensi. Dari segi implikasi terhadap teori, dapatan kajian yang diperoleh daripada penyelidikan ini mempunyai potensi dalam menyumbang kepada pengkayaan korpus ilmu pengetahuan dan kesusasteraan karya mengenai sokongan psikososial dalam kalangan kanak-kanak yang didera secara seksual. Manakala bagi meningkatkan perkhidmatan yang lebih baik dan berkualiti terhadap kanakkanak yang didera secara seksual tersebut, maka pihak institusi khususnya mesti secara kritikal menyediakan sokongan psikososial yang relevan dan secukupnya bagi kepentingan kanakkanak dan untuk kebaikan mereka pada masa hadapan. Kata kunci: penderaan kanak-kanak, sokongan psikososial, institusi perlindungan kanakkanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat