Kesejahteraan, Kesihatan dan Kualiti Hidup Warga Emas di Rumah Seri Kenangan dan Rumah Ehsan di Malaysia

Bidang Kajian : Warga Emas

Pelajar/Pengkaji Oleh: Choo Wan Yuen

Alamat Emel: ccwy@ummc.edu.my

Tarikh: 14/05/2024


Abstrak Kajian


Menilai kualiti pusat jagaan dari perspektif warga emas adalah penting untuk memastikan taraf hidup yang tinggi masih kekal semasa warga emas bermastautin di pusat jagaan. Tujuan program penyelidikan ini adalah untuk memberikan gambaran tentang status kesihatan mental warga emas dan kualiti hidup serta pengalaman mereka yang tinggal di pusat jagaan awam warga emas.

Lapan buah rumah seri kenangan (RSK) dipilih berdasarkan persampelan mudah. Empat ratus lima puluh warga emas bersetuju untuk ditemubual. Selepas mengambilkira ujian saringan kognitif, sampel saiz akhir untuk dianalisa adalah 317 (kadar respon 70.4%). Informasi berkenaan sosio-demografi, status kognitif dan fungsi, kualiti hidup, kesihatan fizikal, kesihatan mental, dan hubungan sosial telah dikumpulkan dari kalangan warga emas.

Hasil penyelidikan menunjukkan warga emas secara umumnya merasakan diri mereka mempunyai kualiti hidup yang sederhana hingga baik semasa menetap di rumah jagaan awam. Kecekapan fungsi, rasa kebebasan dan kenikmatan makanan ialah tiga aspek utama kualiti hidup di mana warga emas merasa kepuasan yang paling tinggi. Privasi, aktiviti yang bermakna dan keselamatan adalah aspek yang memerlukan penambahbaikan dalam usaha meningkatkan kualiti hidup mereka. Perbezaan jantina dilihat amat ketara di mana warga emas lelaki secara purata mempunyai skor kualiti hidup yang lebih tinggi daripada warga emas perempuan.

Dari segi kesihatan fizikal, hampir separuh warga emas yang disurvei mempunyai masalah komorbiditi, namun majoriti warga emas masih mampu melakukan aktiviti kehidupan seharian. Aktiviti fizikal dalam kalangan warga emas adalah sangat rendah dimana hanya satu pertiga dari mereka yang melaporkan menjalankan aktiviti sederhana atau tinggi. Aktiviti fizikal rendah amat ketara dalam kalangan warga emas perempuan.

Masalah kesihatan mental adalah amat tinggi. Kira-kira 35.4% warga emas menunjukkan simptom kemurungan dimana warga emas perempuan paling terjejas. Dari aspek hubungan sosial, kesepian adalah fenomena biasa yang dilaporkan oleh warga emas. Masalah penganiayaan juga dilaporkan oleh warga emas iaitu sebanyak 23.3%. Penganiayaan fizikal dan pengabaian adalah jenis yang paling biasa, diikuti dengan penganiayaan kewangan.

Sebagai kesimpulan, penubuhan pusat jagaan awam yang disediakan oleh kerajaan di seluruh negara telah memastikan warga emas yang miskin dan terpinggir mempunyai akses kepada penjagaan yang rapi dan tempat perlindungan. Keputusan penyelidikan projek ini telah menunjukkan warga emas secara puratanya adalah berpuas hati kepada kualiti kehidupan mereka di pusat jagaan awam. Tiga domain kualiti hidup dengan tahap kepuasan yang tinggi termasuk kecekapan berfungsi, perasaan bebas dan keseronokan makanan. Tiga aspek yang memerlukan penambahbaikan adalah privasi, keselamatan dan menyertai aktiviti bermakna bagi warga emas. Justeru itu, usaha meningkatkan kualiti hidup warga emas yang tinggal di pusat jagaan memerlukan pendekatan menyeluruh, termasuk menangani keperluan fizikal, mental dan sosial, dan mewujudkan persekitaran yang menyokong rasa hormat, maruah dan keterangkuman sosial. Sekiranya pendekatan ini dapat diamalkan, warga emas dapat menghadapi kehidupan dengan bermaruah dan menikmati usia lanjut mereka sepenuhnya.

  Kembali

Pertanyaan & Aduan


Bahagian Perancangan & Pembangunan
Jabatan Kebajikan Masyarakat Putrajaya

 +603 8323 1000 / 1926/ 1935/ 1890
 +603-8323 2321 / 2326 (Bantuan Teknikal)
 Borang Meja Bantuan
 helpdesk_myresearch@jkm.gov.my

Jumlah Pelawat


  • Hari ini: 1,943
  • Semalam: 1,753
  • Mingguan: 14,290
  • Bulanan: 27,515
  • Tahunan: 27,515
1,496,378

Hakcipta Terpelihara © 2025 Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia