Kekangan Pengendalian Perkhidmatan Dua Agensi Awam Terhadap Kualiti Penguatkuasaan Kes Mangsa Wanita Keganasan Rumah Tangga di Pulau Pinang.

Bidang Kajian : Pengurusan & Sumber Manusia

Pelajar/Pengkaji Oleh: Masarah Binti Mohamad Yusof

Alamat Emel: masarahmy@usm.my

Tarikh: 12/09/2025


Abstrak Kajian


Jaringan sistem formal seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) adalah antara agensi penguatkuasaan awam utama membantu mangsa keganasan rumah tangga di Malaysia bagi mendapatkan bantuan perlindungan keselamatan. Justeru, objektif penyelidikan kualitatif ini adalah menganalisis bentuk-bentuk kekangan yang dihadapi oleh anggota penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Polis DiRaja Malaysia dalam mengendalikan kes keganasan rumah tangga terhadap wanita. Penyelidikan ini turut mengenal pasti bentuk keperluan penting bagi mengatasi kekangan yang wujud dalam kalangan anggota-anggota penguatkuasaan terhadap kedua-dua agensi tersebut. Kaedah temubual secara mendalam dijalankan terhadap 10 orang responden yang terdiri daripada anggota penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan 10 orang responden mewakili anggota penguatkuasaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di lima daerah Negeri Pulau Pinang menerusi teknik sampel bertujuan (purposive sampling). Berdasarkan kaedah termatik analisis, pegawai-pegawai penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat didapati menghadapi kekangan dari pelbagai aspek iaitu 1) kekangan dari pihak mangsa; 2) kekangan prosedur dan birokrasi; 3) kekangan sumber manusia serta bebanan kerja; 4) kekangan kawalan tekanan psikososial; serta 5) kekangan sumber logistik dan sokongan terhadap mangsa. Selain itu, pegawai-pegawai penguatkuasaan Polis DiRaja Malaysia turut menunjukkan tema hampir sama iaitu 1) kekangan diri mangsa; 2) kekangan prosedur, birokasi dan sistem pengendalian kes; 3) kekangan sumber manusia dan bebanan tugasan; 4) kekangan masa dan waktu bertugas; 5) kekangan tekanan emosi pegawai bertugas, 6) kekangan logistik dan infrastruktur; 7) kekangan kerjasama antara agensi; 8) kekangan campur tangan pihak ketiga; dan 9) kekangan latihan dan kefahaman perundangan. Hasil penyelidikan objektif ketiga mendapati terdapat 7 keperluan utama yang telah dinyatakan oleh pegawai penguatkuasaan PDRM dan JKM. Majoriti responden menggariskan 1) keperluan latihan dan kursus yang professional; 2) penambahan bilangan sumber manusia sama ada pegawai atau anggota tambahan; 3) keperluan sokongan psikososial kepada staf bertugas; 4) keperluan kerjasama antara pelbagai agensi; 5) penambahbaikan prosedur dan sistem pengurusan kes yang lebih jelas; dan 6) peningkatan kemudahan infrastruktur. Akhir sekali, beberapa cadangan intervensi kerja sosial telah dikenalpasti merangkumi peringkat mikro, mezo dan makro bagi meningkatkan kecekapan pegawai-pengawai penguatkuasaan JKM dan PDRM hasil dari pelbagai data yang telah diperolehi. Ia bertujuan untuk membantu meningkatkan kefungsian sosial wanita yang telah menjadi mangsa keganasan rumah tangga khususnya di Negeri Pulau Pinang. 

  Kembali

Pertanyaan & Aduan


Bahagian Perancangan & Pembangunan
Jabatan Kebajikan Masyarakat Putrajaya

 +603 8323 1000 / 1926 / 1890
 +603-8323 2321 / 2326 (Bantuan Teknikal)
 Borang Meja Bantuan
 helpdesk_myresearch@jkm.gov.my

Jumlah Pelawat


  • Hari ini: 1,647
  • Semalam: 3,167
  • Mingguan: 25,075
  • Bulanan: 21,823
  • Tahunan: 813,609
2,282,472

Hakcipta Terpelihara © 2025 Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia