ISU KEGANASAN RUMAH TANGGA: KONFLIK KEWANGAN & KESEJAHTERAAN WANITA

Bidang Kajian : Komuniti

Pelajar/Pengkaji Oleh: Abdul Razak Bin Abd Manaf

Alamat Emel: a.razak@uum.edu.my

Tarikh: 04/03/2026


Abstrak Kajian


Objektif utama kajian ini adalah untuk memahami aspek ekonomi dan kewangan dalam keganasan rumah tangga daripada perspektif wanita yang terlibat dengan keganasan rumah tangga. Bagi merungkai isu-isu ekonomi dan kewangan ini, maklumat daripada mangsa keganasan rumah tangga dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diperoleh menerusi pendekatan kuantitatif, menggunakan borang soal selidik dalam bentuk google form dan juga pendekatan kualitatif berdasarkan temubual dan perbincangan kumpulan berfokus. Bagi tujuan ini, pra-ujian soal selidik telah dilaksanakan bagi memastikan instrumen kajian yang diadaptasi daripada literatur terdahulu dan kontemporari menepati tujuan kajian. Protokol temubual dan perbincangan kumpulan berfokus (FGD) juga telah dibangunkan untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci dan mendalam berkenaan dengan isu yang dikaji. Di akhir tempoh pengutipan data, seramai 61 orang responden telah menjawab soal selidik yang diedarkan secara atas talian. Namun begitu, hanya 57 soal selidik sahaja yang memenuhi kriteria kajian dan sesuai untuk analisis selanjutnya. Selain itu, seramai 15 orang kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah terlibat dalam sesi temubual dan perbincangan kumpulan berfokus. Analisis deskriptif dan tabulasi silang (cross-tabulation) digunakan bagi menganalisis data yang diperoleh daripada borang soal selidik. Dapatan kajian mendapati bahawa majoriti mangsa berumur antara 30-39 tahun, wanita, berkahwin tetapi masih bersama pendera, dan usia perkahwinan adalah antara 1-15 tahun. Kebanyakan mereka mempunyai tahap pendidikan yang baik iaitu memiliki ijazah sarjana muda, mempunyai anak antara 1-4 orang, tidak pernah memohon bantuan dan bekerja sepenuh masa. Dari segi bentuk penderaan yang dialami pula, penderaan emosi adalah yang tertinggi dilaporkan dan diikuti dengan penderaan fizikal. Apa yang menarik, majoriti mereka yang didera mempunyai ijazah sarjana muda. Dapatan kajian juga turut mendapati bahawa majoriti responden yang pernah didera, tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa. Antara sebab-sebab yang dikongsikan adalah takut, tiada kekuatan diri dan malu. Majoriti pendera adalah pasangan. Kajian turut meneliti isu-isu kewangan yang menyumbang kepada keganasan rumah tangga. Secara umumnya, responden kajian melaporkan mereka pernah mengalami penderaan kewangan tetapi dalam kekerapan yang rendah. Selain itu, dapatan juga menunjukkan bahawa responden mempunyai pengetahuan kewangan dan kepercayaan terhadap kemampuan diri untuk menguruskan kewangan (atau dikenali sebagai efikasi kendiri) pada tahap agak baik. Responden turut mempunyai sikap yang sangat positif terhadap pengurusan kewangan. Namun, responden melaporkan kadangkala mereka mempunyai tekanan berkaitan kewangan seperti membayar bil, pinjaman dan hutang tertunggak. Dapatan kualitatif pula telah mengenal pasti tujuh isu hasil daripada temu bual dan perbincangan kumpulan berfokus. Isu-isu tersebut meliputi bentuk-bentuk keganasan rumah tangga yang dihadapi oleh mangsa, bentuk perkhidmatan yang disediakan oleh pihak JKM terhadap mangsa keganasan rumah tangga terutamanya berkaitan kewangan, isu kewangan yang sering dihadapi oleh mangsa, bantuan atau perkhidmatan yang mangsa sering mohon daripada pihak JKM, permasalahan yang dihadapi oleh pihak JKM dalam penyampaian perkhidmatan di Malaysia berkaitan dengan mangsa keganasan rumah tangga, dan pandangan serta cadangan penambahbaikan berkaitan dasar/perundangan/program keganasan rumah tangga. Berdasarkan kepada hasil dapatan kajian ini, beberapa cadangan dan penambahbaikan telah dibincangkan untuk memperkasa kesejahteraan mangsa keganasan rumah tangga terutamanya dalam konteks kelestarian ekonomi dan kewangan mereka. Limitasi kajian serta cadangan kajian pada masa akan datang juga turut dibincangkan.

  Kembali

Pertanyaan & Aduan


Bahagian Perancangan & Pembangunan
Jabatan Kebajikan Masyarakat Putrajaya

 +603 8323 1000 / 1926 / 1890
 +603-8323 2331 / 2326 (Bantuan Teknikal)
 Borang Meja Bantuan
 helpdesk_myresearch@jkm.gov.my

Jumlah Pelawat


  • Hari ini: 1,137
  • Semalam: 3,109
  • Mingguan: 27,021
  • Bulanan: 88,110
  • Tahunan: 494,415
2,847,815

Hakcipta Terpelihara © 2026 Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia