Bidang Kajian : Kanak-kanak
Pelajar/Pengkaji Oleh: Koh Yan En
Alamat Emel: gracekohyanen@gmail.com
Tarikh: 08/06/2026
Abstrak Kajian
Projek ini telah menghasilkan dan menyampaikan Modul Asuhan dan Jagaan Kanak-kanak Autisme (MANJA) sebagai panduan komprehensif kepada ibu bapa, pengasuh, pendidik dan pihak berkepentingan dalam menyokong perkembangan kanak-kanak autisme dari lahir hingga enam tahun. Pembangunan modul ini dilaksanakan bagi menangani keperluan mendesak susulan peningkatan kes autisme di Malaysia, dengan memberi penekanan kepada pendekatan pengasuhan, penjagaan dan intervensi awal yang holistik serta berasaskan paradigma neurodiversiti. Kajian ini menggunakan pendekatan Design and Development Research (DDR) berasaskan Model ADDIE yang merangkumi fasa analisis keperluan, reka bentuk, pembangunan, pelaksanaan dan penilaian. Modul MANJA yang dihasilkan mengandungi tiga bahagian utama iaitu (A) Pembinaan Sokongan, yang merangkumi pemahaman autisme, prinsip asas pengasuhan, peranan pengasuh serta strategi sokongan utama; (B) Pelaksanaan Aktiviti, yang meliputi domain perkembangan utama seperti pemprosesan sensori, komunikasi dan literasi awal, sosioemosi, pengurusan tingkah laku, pengurusan diri, kognitif, fizikal dan pemakanan; serta (C) Pemantauan Organisasi yang menyediakan instrumen dan garis panduan bagi penilaian pelaksanaan di peringkat institusi. Modul ini turut mengintegrasikan prinsip pengasuhan berasaskan kasih sayang, amanah, pemahaman keperluan individu, jalinan hubungan erat dan adaptasi persekitaran, serta menekankan kepentingan intervensi awal, pengubahsuaian persekitaran dan penglibatan aktif keluarga. Dapatan penilaian menunjukkan modul ini mempunyai tahap kebolehgunaan yang tinggi dalam kalangan pengasuh dan pendidik di TASKA, TASKA OKU dan pusat jagaan di seluruh Malaysia. Secara keseluruhannya, Modul MANJA berjaya menyediakan rujukan praktikal yang sistematik dan holistik dalam memperkasa amalan asuhan dan jagaan kanak-kanak autisme, seterusnya menyokong peningkatan kesejahteraan, kualiti hidup dan potensi perkembangan mereka dalam persekitaran yang inklusif.