Fenomena Seks Bebas dikalangan Remaja Wanita: Kajian Kes di Taman Seri Puteri, Batu Gajah, Perak

Bidang Kajian : Kanak-kanak

Pelajar/Pengkaji Oleh: Khairina Izzati Binti Shaharul

Alamat Emel: khairinashaharul@gmail.com

Tarikh: 05/03/2026


Abstrak Kajian


Fenomena penglibatan remaja wanita dalam hubungan seks bebas merupakan isu sosial yang semakin membimbangkan dan memberi kesan besar terhadap kesejahteraan psikologi serta sosial remaja. Kajian ini dijalankan bagi meneliti fenomena seks bebas dalam kalangan remaja wanita melalui kajian kes di Taman Seri Puteri, Batu Gajah, Perak. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti faktor yang mendorong remaja wanita terlibat dalam hubungan seks bebas, meneliti kesan yang dialami selepas penglibatan tersebut serta menilai pelaksanaan dan kesan program pemulihan yang dijalankan di institusi berkenaan. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan kaedah temu bual mendalam melibatkan sepuluh orang remaja wanita yang sedang menjalani proses pemulihan dan perlindungan di Taman Seri Puteri. Responden dipilih menggunakan kaedah persampelan bertujuan (purposive sampling) berdasarkan penglibatan langsung mereka dalam fenomena yang dikaji dan penempatan mereka di institusi tersebut. Data dianalisis menggunakan analisis tematik bagi mengenal pasti pola, tema dan kategori utama yang berkaitan dengan objektif kajian. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pengaruh rakan sebaya, kurang pemantauan ibu bapa, akses media digital tanpa kawalan, trauma eksploitasi seksual serta persekitaran sosial berisiko merupakan faktor utama yang mendorong penglibatan remaja wanita dalam hubungan seks bebas. Selain itu, keterlibatan awal dalam aktiviti sosial, keinginan hidup bebas, pengaruh ahli keluarga dan kurangnya sokongan keluarga turut dikenal pasti sebagai faktor penyumbang. Dari aspek kesan, kebanyakan responden mengalami tekanan psikologi, terlibat dalam tingkah laku berisiko, menghadapi kehamilan anak luar nikah serta pengasingan sosial. Terdapat juga responden yang mengalami kejatuhan maruah diri dan keluarga serta kes keguguran. Bagi pelaksanaan program pemulihan, kajian mendapati bahawa program seperti kelas fardhu ain, kelas kemahiran, sistem group mother, sesi tazkirah serta penyediaan kebajikan institusi memberi kesan positif terhadap pembentukan sahsiah, pengukuhan agama, sokongan psikososial dan pembangunan kendiri remaja. Walau bagaimanapun, beberapa cabaran seperti penyesuaian emosi dan dinamika interaksi sosial dalam institusi turut dikenal pasti. Kajian ini diharapkan dapat menjadi rujukan dalam usaha memperkukuh pelaksanaan intervensi pemulihan yang lebih holistik terhadap remaja wanita berisiko.

Kata kunci: Seks bebas, Remaja wanita, Program pemulihan, Tekanan psikologi

  Kembali

Pertanyaan & Aduan


Bahagian Perancangan & Pembangunan
Jabatan Kebajikan Masyarakat Putrajaya

 +603 8323 1000 / 1926 / 1890
 +603-8323 2321 / 2326 (Bantuan Teknikal)
 Borang Meja Bantuan
 helpdesk_myresearch@jkm.gov.my

Jumlah Pelawat


  • Hari ini: 765
  • Semalam: 3,402
  • Mingguan: 24,007
  • Bulanan: 92,115
  • Tahunan: 288,767
2,642,167

Hakcipta Terpelihara © 2026 Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia