Bidang Kajian : Kaunseling
Pelajar/Pengkaji Oleh: Siti Salina Binti Abdullah
Alamat Emel: ctsalina@umt.edu.my
Tarikh: 21/08/2014
Abstrak Kajian
Peningkatan bilangan penjenayah juvana yang residivis semakin membimbangkan di seluruh dunia. Di Malaysia, walaupun maklumat tepat mengenai jumlah residivis tidak dinyatakan tetapi berdasarkan peratusan remaja yang relapse jumlah agak besar dan majoritinya melibatkan remaja 13-19 tahun (AADK, 2008). Golongan remaja ini yang diharapkan untuk memacu negara pada masa akan datang. Sekiranya peningkatan ini tidak dibendung dan dicari jalan penyelesaian kemungkinan besar Malaysia akan menghadapi masalah untuk berkembang dengan lebih pesat pada masa akan datang. Menurut Daniels et. al (2012) telah banyak program yang dibuat untuk mengurangkan bilangan residivis yang semakin bertambah tetapi kelihatannya program-program tersebut tidak memberikan kesan yang signifikan kepada peningkatan bilangan terbabit. Bagaimanapun program yang disediakan lebih bersifat luaran seperti program kesedaran, khidmat masyarakat dan cuba menggalakkan sokongan ahli keluarga yang kadangkala tidak dapat menerima bahawa ahli keluarga mereka telah melakukan jenayah. Peringkat umur remaja yang sedang mencari identiti diri begitu menitikberatkan sokongan dan panduan daripada individu sekeliling. Keadaan ini merujuk kepada lokus kawalan diri remaja yang lebih ke arah lokus kawalan luaran yang mementingkan pandangan dan sokongan dari orang sekeliling berbanding dengan kekuatan yang ada dalam dirinya sendiri (lokus kawalan dalaman). Konsep mengajar semula (relearning) dan pendidikan semula (reeducating) amat bersesuaian untuk dipraktikkan bagi memastikan mereka mampu untuk berdiri sendiri dan berubah tanpa mengharapkan sokongan luaran semata-mata dalam mengubah tingkahlaku ke arah yang lebih baik. Perubahan pada corak pemikiran remaja delinkuen sekaligus dapat membantu mereka mengubah tingkahlaku tidak adaptif yang diamalkan selama ini. Sesi kaunseling kelompok yang akan menggunakan pendekatan Terapi Kognitif Tingkahlaku (CBT) diharapkan dapat membantu mendidik semula remaja yang telah terlibat dengan masalah jenayah untuk mengurangkan kecenderungan mereka ke arah residivisme. Ini merupakan justifikasi utama mengapa kajian ini dijalankan di pusat pemulihan akhlak memandangkan proses pencegahan residivisme disarankan bermula daripada peringkat awal remaja delinkuen berbanding penjenayah yang sudah berada di penjara