Bidang Kajian : Kanak-kanak
Pelajar/Pengkaji Oleh: Mohammad Suhaizal Bin Abdullah
Alamat Emel: m.suhaizal@yahoo.com.my
Tarikh: 20/04/2015
Abstrak Kajian
Remaja merupakan aset terpenting negara untuk meneruskan generasi yang cemerlang pada masa akan datang untuk pembangunan negara yang baik. Remaja dalam perspektif undang-undang ialah individu yang berumur dalam lingkungan 10 tahun hingga 18 tahun serta masih belum berkahwin (Hairunnaja Najmuddin, 2007). Dalam melahirkan generasi yang unggul pada masa akan datang remaja pada masa sekarang haruslah diberi perhatian supaya golongan ini dapat menjadi kebanggaan negara pada masa hadapan. Namun malangnya masih membimbangkan apabila masih terdapat remaja yang melakukan kesalahan tingkah laku sehingga mereka digelar pesalah juvana. Menurut Hess, Orthmann, dan Wright (2013), juvana ialah seorang yang tidak matang dari segi psikologi, emosi, dan intelektual. Ketidakmatangan individu tersebut menyebabkan mereka melakukan pelbagai kesalahan tingkah laku yang bertentangan dengan kehendak norma masyarakat. Oleh itu, seharusnya diberi perhatian khas kepada golongan remaja tersebut supaya golongan ini tidak tersasar dari landasan sepatutnya. Remaja yang terlibat dengan masalah sosial sering dikaitkan dengan pencapaian mereka yang rendah dalam pencapaian akademik. Berhubung dengan pernyataan tersebut kajian ini dilakukan supaya dapat mengenalpasti masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan remaja dan kaitannya dengan pencapaian akademik.