Bidang Kajian : Kaunseling
Pelajar/Pengkaji Oleh: Puteri Nur A'in Binti A.khalid
Alamat Emel: puteri97ain@gmail.com
Tarikh: 13/07/2023
Abstrak Kajian
HUBUNGAN ANTARA SOKONGAN SOSIAL, STIGMA, EFIKASI KENDIRI DENGAN SIKAP MENDAPATKAN BANTUAN KAUNSELING DALAM KALANGAN PELATIH SEKOLAH TUNAS BAKTI, SUNGAI BESI
Oleh
PUTERI NUR A’IN BINTI A KHALID
Januari 2023
Penyelia: Dr Wan Norhayati Wan Othman (K.B., PA)
Fakulti: Fakulti Pengajian Pendidikan
Sikap mendapatkan bantuan kaunseling adalah keinginan dan keterbukaan seseorang individu untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi sikap mendapatkan bantuan kaunseling antaranya adalah sokongan sosial, stigma kendiri, stigma masyarakat dan efikasi kendiri. Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti hubungan sokongan sosial, stigma yang merangkumi stigma kendiri dan stigma masyarakat, efikasi kendiri terhadap sikap mendapatkan bantuan kaunseling dalam kalangan remaja. Kajian ini melibatkan 61 orang responden pelatih dari Sekolah Tunas Bakti, Sungai Besi, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berada dalam lingkungan umur 10 hingga 20 tahun. Reka bentuk kajian ini adalah kajian kuantitatif yang menggunakan analisis deskriptif dan korelasi. Instrumen kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah Multidimensional Scale of Perceived Social Support (MSPSS) untuk mengukur sokongan sosial, Self Stigma of Seeking Help (SSOSH) untuk mengukur stigma kendiri, Perceptions of Stigmatization by Others for Seeking Help (PSOSH), General Self-Efficacy Scale (GSES) untuk mengukur efikasi sendiri dan Attitude of Seeking Professional Psychological Help Scale Short Form (ASPPHS-SF) untuk mengukur sikap mendapatkan bantuan kaunseling. Analisis statistik yang akan digunakan adalah analisis deskriptif dan inferensi. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat hubungan negatif yang signifikan antara sokongan rakan dan sikap mendapatkan bantuan kaunseling. Hasil perbincangan kajian mendapati bahawa dapatan yang diperolehi menyokong gagasan model sokongan sosial dan teori pelabelan.
Kata kunci: sokongan sosial, stigma kendiri, stigma masyarakat, efikasi kendiri, sikap mendapatkan bantuan kaunseling, remaja, pelatih