Peranan Pusat Aktiviti Warga Emas Ke Atas Kesejahteraan Warga Emas

Bidang Kajian : Warga Emas

Pelajar/Pengkaji Oleh: Noraida Binti Ibrahim

Alamat Emel: aida_adea@ymail.com

Tarikh: 23/03/2015


Abstrak Kajian


Rowe dan Kahn (1997), menyatakan bahawa cabaran ketara dalam membincangkan isu warga emas adalah cabaran daripada aspek biologi, sains sosial dan tingkah laku, serta perubatan. Penuaan yang berjaya dilihat daripada pelbagai dimensi, merangkumi kawalan terhadap penyakit dan hilang upaya, penyelenggaraan fungsi fizikal dan kognitif yang tinggi, serta penglibatan yang berterusan dalam aktiviti sosial dan produktif. Kajian oleh Yadollah Abolfathi Momtaz, Tengku Aizan Hamid, Suraya Yusoff, Rahimah Ibrahim, Sen Tyng Chai, Nurizan Yahaya dan Siti Suhailah Abdullah (2012) mengenai isu kesunyian di kalangan warga emas mendapati, hampir satu pertiga daripada responden yang dikaji melaporkan mengalami tahap kesunyian akibat daripada faktor sosio demografi seperti umur, jantina, tahap perkahwinan, etnik serta sejarah penyakit kronik. Ini menunjukkan bahawa faktor kesepian dapat meningkatkan kemungkinan warga emas mengidap penyakit tekanan darah tinggi di kemudian hari. Jabatan Kebajikan Masyarakat (2012) telah merekodkan seramai 1695 warga emas ditempatkan di Rumah Seri Kenangan (RSK) iaitu rumah perlindungan dan penjagaan di bawah kendalian JKM. JKM mempunyai 9 buah RSK dan mempunyai kapasiti penghuni seramai 1936 orang warga emas. Permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan institusi ini diperlukan oleh warga emas yang tidak mempunyai anak untuk menjaga mereka atau mereka yang mahu mencari ketenangan jiwa di sebuah tempat yang terjaga. Kekangan utama penjagaan warga emas di Malaysia ialah dari segi dana dan ketiadaan pekerja sukarela. Tidak semua warga emas mampu tinggal di rumah penjagaan swasta. Kerajaan juga tidak mampu menyediakan semua keperluan mereka. Jadi apa yang harus ditekankan ialah memberi kesedaran kepada golongan muda supaya tidak mengabaikan ibubapa kerana penuaan adalah satu proses yang akan ditempohi oleh semua individu sebelum tempoh ajal tiba (Doris Padmini Selvaratnam, Nor Aini Haji Idris, Norlaila Abu Bakar & Norlida Hanim Mohd Salleh, 2008). Oleh yang demikian PAWE dilihat sebagai satu alternatif kepada penjagaan di dalam institusi. Menurut Merriam, Sharan dan Mohamad (2000), terdapat kajian yang dilakukan di barat untuk mengenal pasti faktor yang mendorong penyertaan aktif warga emas di usia tua. Satu daripada faktor yang dikenal pasti adalah hubungan sosial sebagai motivasi dan pendorong utama kepada warga emas untuk mengambil bahagian dan mengenali kawan-kawan baru serta menyumbang khidmat kepada masyarakat. Faktor ini didapati menjadi penyumbang utama kepada penuaan yang berjaya iaitu penuaan yang produktif. Walau bagaimanapun setelah sepuluh tahun penubuhan PAWE, tiada kajian ilmiah yang dikenal pasti telah dilakukan untuk mengkaji keberkesanan PAWE serta agensi pelaksana yang terlibat. Ditambah pula peningkatan bilangan PAWE di seluruh negara, maka kajian mengenai PAWE amatlah penting agar penambahan PAWE kelak tidak menjadi sesuatu yang merugikan kepada pihak kerajaan. Kajian ini akan meninjau keberkesanan PAWE dan peranannya ke atas kesejahteraan warga emas yang terlibat di dalam program atau aktiviti yang dianjurkan. Ini bertepatan dengan salah satu objektif penubuhan PAWE iaitu untuk meningkatkan kesejahteraan warga emas selari dengan konsep warga emas aktif dan produktif di dalan DWEN. Tahap kesejahteraan akan dilihat daripada beberapa dimensi yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu dimensi kesihatan, hubungan sosial, berdikari, kebebasan & kawalan ke atas kehidupan, persekitaran, psikologi, kewangan dan aktiviti masa lapang. Ia juga hampir menyamai dimensi kesejahteraan yang dinyatakan di dalam DWEN iaitu kesihatan, kerohanian, persekitaran, ekonomi dan sosial (DWEN, 2011).
  Kembali

Pertanyaan & Aduan


Bahagian Perancangan & Pembangunan
Jabatan Kebajikan Masyarakat Putrajaya

 +603 8323 1000 / 1926/ 1935/ 1890
 +603-8323 2321 / 2326 (Bantuan Teknikal)
 Borang Meja Bantuan
 helpdesk_myresearch@jkm.gov.my

Jumlah Pelawat


  • Hari ini: 587
  • Semalam: 1,462
  • Mingguan: 12,152
  • Bulanan: 24,382
  • Tahunan: 54,207
1,040,314

Hakcipta Terpelihara © 2024 Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia